Jumat, 09 Desember 2011

tips dan trich cara meningkatkan trapipik blog

agi-pagi lagi Aku sudah meredah pasar. Mencari-cari bahan untuk masakan hari ini. Almaklumlah, sudah lama 'membujang' ni, peti sejuk pun kosong je...ingat hendak penuhkan semalam, tapi memandangkan kami juga hendak menyambung cuti pulang ke Perak, maka, tak jadilah hendak menyimpan bahan mentah dulu.



Seronok berurusan di pasar ini ialah, bila membeli tu, boleh main kaup dan campur-campur. Nak sikit pun tak ada hal. Aku beli lengkuas, kangkung, cili merah, daun kunyit



Aku juga beli santan, cili kering dan sotong sekilo. Semuanya Aku masukkan dalam beg 'mesra alam' Aku. Seronok juga...rasa macam pejuang alam sekitar la pulak, padahal masa kat hypermarket berbondong-bondong plastik kami angkut...hemmm...satu orang tak boleh ubah semua perkara maaa....sikit-sikitlah.

Oh ya, tung tang tung tang...maka terhasillah rendang pedas kerang ini.



Adik nak balik, kan...kesian pulak teringat dia suka makan rendang pedas ini. Mak dan ayah masih di kampung. Tengah sibuk uruskan persiapan majlis pernikahan adik bongsu kami Rabu ini. Tak buat majlis apa pun...makan-makan adik-beradik aje la agaknya paling-paling kuat pun. Tak kisahlah, janji perkara yang wajib dah buat.

Jadi, malam ini kami akan ke KLIA menunggu kepulangan Ramzan sekeluarga.

Selamat pulang! (Lalu terdengar-dengar pula lagu "Anak Desa" berkumandang di cuping telingaku...)

Friday, December 25, 2009

Belajar Dari Sejarah

Ada orang kata UM tu akhbar 'penjahat'. Suka mengacum. Mengadu domba dan boleh menyebabkan perpecahan. UM sahaja ke? Aku rasa yang lain pun apa kurangnya. Dah boleh tebak agenda masing-masing bila tengok muka depan. Apa berita yang menghiasi muka depan? Apa tajuk yang mengambil tempat paling penting yang akan mampu menarik perhatian pembaca? Sudah tentulah...lagi kontroversi lagi bagus. Jadi, tak ada angin tak ada ribut...di tengah kemeriahan menjelang hari natal tu, akbar percuma ini pun menyajikan berita ini.



Punyalah banyak berita-berita lain yang boleh dipaparkan untuk manfaat pembaca, 'ramuan beracun' ini jugalah yang dipilihnya.



Aku tidak berminat hendak mengulas panjang isu ini. Apapun ia mengingatkan Aku kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku dalam bulan Zulkaedah tahun ke-6 Hijrah. Antara intipati perjanjian yang dibuat antara kaum Quraisy Mekah dengan Nabi Muhammad S.A.W selaku pemimpin penduduk Islam Madinah ialah :

"Mana-mana orang Islam Madinah yang lari ke pihak Quraisy Mekah, maka dia tidak perlu dikembalikan kepada kaum Muslimin; akan tetapi sekiranya ada di antara orang Quraisy Mekah yang lari ke pihak Islam Madinah, maka individu itu perlulah dikembalikan semula kepada pihak Mekah".

Ramai yang menyangka, termasuklah sahabat-sahabat Baginda Rasulullah S.A.W sendiri, bahawa ia adalah satu perjanjian yang berat sebelah dan hanya menguntungkan pihak Quraisy Mekah. Akan tetapi, terdapat hikmah yang besar di sebalik perjanjian ini. Gencatan senjata 10 tahun itu telah membolehkan syiar Islam dikembangkan dengan lebih meluas, malahan penduduk Islam dapat pula hidup dalam keadaan aman dan damai. Dan yang paling penting sekali, perjanjian ini membawa kepada suatu peristiwa yang lebih besar kemudiannya iaitu Peristiwa Pembukaan Kota Mekah yang gilang gemilang.

Kalau tengok yang tersurat, memanglah nampak mengalah. Tetapi itulah antara tanda kebijakan Rasulullah S.A.W sebagai seorang pemimpin, pembuat strategi yang bijak. Mengapa pula Baginda tidak kisah dengan pemergian penduduk Islam Madinah ke Mekah dan tidak mahu menuntut mereka dipulangkan?

Ini kerana Baginda tahu, hanya golongan yang masuk Islam kerana terpaksa atau munafik sahaja yang akan melarikan diri dari Madinah atau ingin murtad. Bagi umat Islam Madinah, golongan-golongan musang berbulu ayam ini memang tidak diperlukan. Malah lebih baik mereka tiada kerana mereka ini bolehlah diibaratkan seperti musuh dalam selimut yang boleh menggugat kekuatan Islam dari dalam. Apabila mereka dengan sukarela pergi, bukankah itu lebih baik kerana seorang demi seorang musuh dalam selimut sudah tiada?

Apahal pula dengan penduduk Mekah yang lari meninggalkan Mekah kerana ingin menyertai Rasulullah dan muslimin Madinah? Kenapa perlu mereka dikembalikan kepada Quraisy sedangkan jelas mereka itu berpegang kepada agama Allah. Tidak mengapa. Manusia yang di dalam hatinya hanya ada Allah dan RasulNya, insyaallah, kuat dan teguh pendiriannya. Akidah mereka tidak mudah goyah. Malahan mereka sanggup mati sekalipun. Sekiranya mereka ini terus ditahan di Mekah, lama-kelamaan mereka pula akan menjadi seperti agen penyebar Islam dari dalam. Peribadi mulia mereka sebagai muslimin akan mempengaruhi pula keluarga dan sahabat dikeliling mereka. Akhirnya mereka pun akan menjadi seperti 'musuh dalam selimut' di kalangan kaum musyrikin Mekah.

Tersebut kisah seorang Quraisy bernama Abu Baseer r.a yang melarikan dari puak Quraisy dan menyatakan keimanannya kepada Rasulullah S.A.W. Namun, setelah dua orang wakil Quraisy datang menuntutnya kembali, Baginda S.A.W melepaskan Abu Baseer untuk dihantar pulang. Ketika di perjalanan, Abu Baseer telah membunuh salah seorang daripada puak Quraisy tersebut, dan melarikan diri sekali lagi ke Madinah.

Namun, Nabi tetap tidak mahu menerimanya, kerana jika Baginda S.A.W terima, maka perjanjian tersebut telah dilanggari. Mendengar berita bahawa dia akan dihantar sekali lagi ke puak Quraisy di Mekah, maka Abu Baseer telah melarikan diri ke suatu tempat bernama Saiful-Bahr.

Golongan Islam yang masih tertindas di Mekah akhirnya melarikan diri juga ke Saiful-Bahr dan menyertai Abu Baseer, lalu membentuk satu kumpulan dan koloni di situ. Atas dasar membalas dendam ke atas penindasan yang dilakukan oleh puak Quraisy terhadap mereka, mereka telah memintas rombongan-rombongan perdagangan Quraisy.

Perkara ini membingungkan puak Quraisy. Mereka tidak boleh berperang, dalam masa yang sama, puak Islam di Saiful Bahr sendiri tidak tertakluk kepada Perjanjian Hudaibiyah, kerana mereka bukan penduduk Madinah!

Akhirnya, atas desakan tersebut, kaum Quraisy MERAYU kepada Nabi saw supaya menerima puak Islam di Saiful Bahr tersebut sebagai penduduk Madinah, dan puak Quraisy bersetuju untuk mengubah klausa perjanjian, di mana sesiapa dari Mekah yang datang ke Madinah tidak perlu dipulangkan kembali.

Maka, dengan bertukarnya klausa perjanjian itu, tahun berikutnya (tahun ke-7 Hijrah) menyaksikan TIGA orang besar dari puak Quraisy Makkah memeluk Islam; mereka ialah ‘Amr bin Al-’As, Khalid bin Al-Walid dan ‘Uthman bin Talhah.

Akhir kata, mari berselawat ke atas Nabi S.A.W yang mana atas usaha dakwah Baginda, Islam tersebar di dunia sehingga kita juga dapat kecapi nikmatnya. Alhamdulillah. Tak perlulah kita melatah dengan permainan psikologi kaum musyrik di zaman kita ini.

Sebahagian bahan berkenaan kisah Perjanjian Hudaibiyah ini diambil daripada http://warungkampung.wordpress yang banyak merujuk kepada buku "Genius: Muhammad bin Abdullah", "The Sealed Nectar (Al-Raheequl Makhtum)", "The Battles of The Prophet S.A.W").

Thursday, December 24, 2009

Bila Yang Haram Sudah Jadi Halal

Aku menyokong penuh langkah JAKIM untuk tidak mengeluarkan sijil halal kepada hidangan makanan bak kut teh "halal".

Sebuah ensiklopedia bebas berbahasa Melayu memberikan maksud harfiah "bak kut teh" sebagai "teh rusuk daging (babi)". Sedikit keterangan yang disertakan menyatakan
Bak Kut Teh atau dada babi (pork spareribs) dimasak dalam herba tradisi Cina. Herba dan ginseng dicampur bukan sahaja sebagai perasa tetapi juga menambah khasiat. Pelbagai jenis cendawan sering kali ditambah kepada hidangan dan biasanya dihidangkan dalam mangkuk tembikar Cina.

Terbaru hidangan ini telah diberi nafas baru dan dijenamakan sebagai "halal" atas alasan ianya dimasak menggunakan daging ayam dengan proses penyediaan semuanya mengikut hukum syarak. Dan juga di masak oleh tukang masak Melayu. Maka, bak kut teh ini boleh dimakan tanpa was-was oleh orang Islam.

Mengapa pula tiba-tiba "bak kut teh" ini mahu dijadikan halal? Menurut pihak yang memperjuangkan masakan ini, ia adalah makanan yang tersohor dan dikenali ramai. Kalau nasi lemak, satay, teh tarik boleh dipromosikan sebagai makanan rakyat Malaysia yang diterima oleh kaum berbilang, mengapa tidak "bak kut teh"? Justeru, bahan yang digunakan itupun diubah supaya menjadilah ia makanan yang halal.

Masalahnya, nama "bak kut teh" itu sudah sinonim amat dengan babi. Lalu, apabila ia dihalalkan, tidak dapat tidak bakal terjadilah huru-hara di kemudian hari. Maka akan berlumba-lumbalah bak kut teh halal ini dijual di mana-mana dan dalam meniti populariti, siapa tahu apa yang akan terjadi bila berlaku kecelaruan di mana-mana. Inilah yang cuba dielakkan oleh JAKIM.

Persoalannya, mengapakah tidak boleh menggunakan nama yang lain? Mengapa hendak juga menggunakan nama "bak kut teh"? Mengapa tidak "chi kut teh"? Chi as in chicken.

Apakah sengaja hendak secara halus mengurangkan sensitiviti umat Islam terhadap kerbau pendek itu? Lalu lama-lama siapa pun tidak hairan lagi sama ada ia itu babi, babu atau babun sekalipun. Tiada lagi rasa jijik. Rasa jelek.

Teringat masa Hisham dalam umur 6 tahun dulu memberitahu Aku...

"Ibu, I know how to sound like pig...oink!oink!"

Alamak...!!!

Wednesday, December 23, 2009

Satira Hujung Tahun

Tun Perpatih Sirih Sejunjung tiada sedap hatinya mengenangkan pencapaian hujung tahun yang oleh dirinya sendiri sukar hendak diukur keberkesanannya. Bukanlah Tun Perpatih Sirih Sejunjung itu kerjanya senang ditelah. Segala benda yang tiada dibuat orang itupun habis jatuh di atas batu jemalanya jua. Tiadalah dapat dia mengelak melainkan diperbuatkan sedaya upaya.

Adapun kalau mengikut kata Bendahara Air Liur Berjela, sangatlah cemerlang kerja Tun Perpatih Sirih Sejunjung, tiadalah dapat diperikan dalam bahasa yang mudah. Pendekata yang indah-indah belaka sehinggakan sukarlah Tun Perpatih Sirih Sejunjung hendak percaya. Bagaimana hendak ditelan bulat-bulat, Bendahara yang diketahui ramai lebih manis mulutnya dari gula itu? Takut terkena kencing manis pula Tun Perpatih Sirih Sejunjung dek bahana kena perdaya.

Lalu disuruh tengokkan kebenaran kata-kata Bendahara oleh si tukang tilik kesayangan Baginda Paduka Raja Kapor itu, Ratna Sari Cahaya Inderaloka. Sesudah dibelek dan ditilik, sekonyong-konyong tersenyum suka si Ratna Sari. Bertambah-tambah hairan Tun Perpatih Sirih Sejunjung.

"Hai, Datuk...gerangan apakah sukar benar hendak percaya? Adapun Datuk Bendahara itu tiadalah dia hendak berbuat tipu daya".

"Kalau begitu, sungguhlah sudah tercapai wawasanku itu" sahut Tun Perpatih Sirih Sejunjung girang. Pun begitu masih ada ragu membuku dikalbunya.

"Ya, Datuk. Jangankan Datuk Bendahara yang busuk liurnya itu sudah dalam genggaman, mengikut firasat patik, Baginda Paduka Raja juga nampaknya semakin kasih akan Datuk".

Terlopong Tun Perpatih Sirih Sejunjung mendengarkan ramalan Ratna Sari.

Teringin benar hatinya ingin percaya tapiiiii...kalaulah tiada mendapat juga, ibaratnya usaha Tun Perpatih Sirih Sejunjung itu umpan habis, kerong-kerong tak dapatlah jua adanya.

Monday, December 21, 2009

Lawak Orang Sarikat Telekong

Entah mari mana hanyut cerpeng bahase Ganu ni ke inbox Aku. Kerah peruk juge ler...Terima kasih la kawan hok dok antor mende ni...suka sangat!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mamat rase malassang nök bangung tiddo. Nye gulling-gulling atah katil. Pusing kiri, pusing kanang. Serba dök kene dia berase. Mök Lijöh blèbèr hanyaar kot luör pitu, “Mat! Matahari nök tinggi galöh döh nim, ka’ak rezeki kalu bangung lèwat-lèwat. Mung tak dök kheje ke ari nim?”

Dök tahang kene blèbèr Mamat Ppayang pong bikah bangung ceggat dari katil. Baru dia teringat pukol 11 ada kene wat kheje sikit hök Böh dia suroh kemarèng. Mamat pong jungaa tangang dia ambèk tuala. Pèsèngang mandi P. Ramlee pulök pagi nim, al maklunglah pukol 10.30 döh. Dari Manir nök jembe ke Jalang Batah Baru tu jauh jugök. Pah tu nök kena bereti stèsèng minyok Petronah pulök dekat sipang trapik lait Pulau Musang. Döp ingat starang nok tamböh minyök kemarèng. Dök dang 10 minit Mamat siap belake döh. Minung air kopi-ö setegök dua lepah tu pakaa kasut kulit atah tangge kak lambo. Baru beli minggu lepah tu kasut tu. Bekilat ssiö! Lepah tu Mamat pong stak möto vroooooong hale ke bandö. Mötosika sèkèng hèng jer, tapi boleh tahang lah.

Jalang Batah Baru ader banyök bangunang jabbat dengang kedaa. Kalu hale ke depang sikit ada kedaa Astro, hök tv kene bayö bulang-bulang tu. Kalu tebèng dök bayö jer kena pötöng hanyaar. Lepah pada suraa Flat Batah Baru tu ada lèrèk kedaa èkong. Kedaa makang pong ada gök. Kalu jallang sikit lagi sebelum kedaa Astro tu, ada kawasang lapang tepat juaa khète baru cap Hyundaa dengang Kia.

Di antara kedaa èkong dengang kedaa Astro tu ada celöh-celöh tu jabbat löyar baru buka. Pèsèngang baru pah jadi löyar tu Mamat mari mmkir sörrang. Slo-slo Mamat naèk tikat dua. Napök gaye ader dua örang jer kherani. Llaki sörang, ppuang sörang. Boleh tahang hök ppuang tu. Tapi pakaa cicing molèk ngak kat jari manih tu. Ttunang döh pèsèngang tu.. Dök napök gambö starang. Berat nnanang. Mamat kabö ke kherani ppuang tu dia nök jjuper Tuang Löyar. Hayat hidup Mamat dök rajing jjuper löyar skali habuk. Cakkak dengang löyar jauh skali.. Nye mari debö wèh.

Mamat pong ketok pitu masok. Löyar tu tengöh pegang gagang talipung cap Panasonic kat telinga dia. Wayar talipung tu tengöh beseranggöh lagi. “I dah uruskan fixed deposit you sebanyak RM10 juta tu. Lagi satu, minggu depan ni, I nak you ikut I ke Singapore. HSBC Singapore dah buat arrangement untuk finance syarikat klien I, tak banyak, dalam 20 juta Sing dollar. Firm I jadi lawyer jugak tu. I turun KL minggu ni, kita dinner kat Shook di Starhill ok?”

Mamat bukang pandaa sangat cakak orang putih. Tapi bila dengö haa pitih die pahang. Mainang apa juta-juta nim? Mamat mari mmikir.

Löyar muder tu pong letök gagang talipung sambil-sambil kheling ujung mata tengök ke Mamat. “Yer, nök mender? Saya sibuk sangat ni, dök tengök ker?” löyar tu tanye Mamat.

Mamat pucat kesi. Dök tahu nök kata mende. Nök jawak salöh. Tak mboh jawak salöh. Macang mase nök bangung tiddo sakning. Serbe dök kene. Sudöhhang Mamat tebèng jugök jawak.

“Sebenörnyer tuang, sayer nim kheje dengang sarikat Teleköng. Saya mari nok sambung wayar talipung hök tuang wak lölök cakkak sakning. Dök sambung lagi wayar tu, guaner lah tuang boleh cakkak döh!”

Muka tuang löyar tu jadi biru hèrang!

Döh nök wat guana starang! Nök èksèng dök betepat! Ada jugök löyar kècèk orang dèh! Pecöh bo! Orang jamang lenim kata “kantoi”

Meniti Hari

Mood hendak bercuti sudah mula terasa. Pagi ini, bila masuk parkir, masih ada sekitar 500 tempat yang masih kosong...menunjukkan samada semakin ramai yang memulakan cuti ataupun cuaca pagi semenjak dua menjak ini yang dingin itu membuatkan ramai yang liat bersiap awal ke tempat kerja..heheh. Apapun Aku tetap sahaja ke petak kesukaan Aku. Setia pada yang satu, walaupun petak depan lif banyak lagi yang belum berisi. Tak apalah, Aku suka lokasi tepi dinding ni walaupun Atoz perlu berjiran dengan Volvo hitam versi dulu-dulu yang entahlah milik siapa itu. Tak bergerak-gerak sedari minggu lepas lagi.

Tepat jam 7.30 pagi sudah menderu angin sejuk bila pendingin hawa dihidupkan. Gila ke apa kau orang ni? Pagi-pagi buta dah buka air-cond. Kalaulah ini stor tempat simpan ikan, tak apalah juga...kami ini orang, bukan orang-orang. Memanglah bukan Aku yang bayar bil, tapi kalau sedikit penjimatan dapat mengurangkan operasi syarikat, kan bagus...boleh buat lagi satu inisiatif 'Bumiku'. Menjelang tengahari, kuku Aku dah berwarna lebam dah...dah sah tengahari ini Aku nak keluar lepak kat bawah. Pulakkk!

Kerja? Okaylah, nampak gayanya lancar cuti Aku nanti. Insyaallah. Ikutkan program kajian yang kami buat tu, data semua dah cukup. Tunggu analisis sahaja. Lagipun semua prosedur-prosedur perjanjian sudah Aku sempurnakan. Lapang dada hendak bercuti. Kami akan balik Melaka dulu, jemput anak-anak. Lepas tu baru balik Perak. Kelengkapan sekolah pun dah siap...tinggal hendak balut buku teks aje Aku tak buat lagi.

Rasa-rasanya modus operandi untuk tahun baru ini sama sahaja. Walaupun boss kata lebih mencabarlah, kena naikkan standard kerja, kena itu kena ini...Aku rasa tak perlulah Aku susah hati sangat. Teruskan aje dan hadapi segalanya hari demi hari. Bak kata Ustaz, tak payahlah panjang angan-angan sangat, kita ini bila-bila boleh gugur. Jadi, sementara ada waktu buatlah apa-apa yang patut.

Peace!

Wednesday, December 16, 2009

Through My Window - Bunkface

This song is produced through a collaboration with my company. It was the same mysterious song which CDs were distributed to various radio stations in anonymity few months ago. It is now a hit among teenagers. Message behind the song? Err...suddenly it just remind me of the teamwork song from Wonderpets heheh...But the key message behind this effort, is to show that we can work together to produce something of a high impact like this one. Today, it may be just collaborating to produce a good song...next time, it could be something else...err...a jointly organized 'kenduri'...or best to sum it all..."connections make everything possible".

I am not really a fan, but I recognized the effort made by the people who work hard to realize this idea. Hence, this entry.

*****************************************************************
I don’t want much, I just want everything
Thought that I could, do almost anything
One step in front of the other
Thought that I could do it alone

In the blink of an eye, it’s just another day
Telling me why, I’ll find another way
Got this feeling, got me reeling
I can almost start believing

Now there’s me and you
And we are not alone
You and me, me are together now
Through my window, I can see there’s
More than you and more than me

Me and you, And we are not alone
Different view, We are together now
Through my window, I can see
Our wildest dreams could be so real

I see a spark, it starts a fire
Is this the one worth waiting for?
Thought that I could do it without you
Can’t exist like this anymore

Now there’s me and you
And we are not alone
You and me
We are together now

Through my window, I can see there’s
More than you and more than me

Now there’s me and you, you and me
We are not alone and we are together
Through my window I can see
Our wildest dreams could be so real

For more info, go to this website http://everyoneconnects.net

Diam-diam Ubi

Dalam perjumpaan bulanan petang kelmarin, ketua kami menggesa agar setiap seorang dari kami ini mengambil langkah-langkah sepatutnya untuk meningkatkan mutu dan kualiti ketrampilan sebagai eksekutif syarikat. Ini termasuklah jaminan bahawa kami akan didedahkan dengan banyak kerja-kerja pembentangan dan interaksi dengan profesional, dalam dan luar.

"It is now time for you to shine" katanya.

Aku tersengih-sengih dalam hati. Tak dapat membayangkan diriku yang 'bersinar' itu. Heheh...Yang sebenarnya, terus terang Aku katakan, Aku memang tak kisah pun kalau tidak bersinar walaupun Aku tahu, Aku boleh lakukannya tanpa perlu bersusah-payah.

Dari segi pendedahan, Aku punya sejarah yang agak boleh tahan juga. Mula bersinar di peringkat menengah dan menyertai pasukan bahas sekolah. Aku juga pernah mengendalikan radio sekolah menerusi konti serba kekurangan bersebelahan bilik guru. Tapi taklah lama sebab lepas tu tutup kedai. Agaknya cikgu-cikgi boring kot asyik dengar Aku putarkan lagu Roxette "It Must Have Been Love" hari-hari. Hahaha...

Selain berbahas, Aku juga pernah bersajak dan bersyair. Kemudian bila masuk Matrik, Aku menganggotai kumpulan TEMA. Aku pernah memegang watak utama dalam pementasan teater kami dan juga pernah memalukan diri sendiri memegang watak 'fairy godmother' yang gila-gila dalam teater merapu sempena English Week, "The Stingy King". Pendek kata memang tak masuk akal dan Aku selalu membuatkan kawan-kawan 'konfius' dengan perwatakan Aku yang pendiam dan lebih suka buat hal sendiri di luar pentas.

Minat Aku diteruskan bila masuk tahun satu sehinggalah tahun 3 bilamana Aku sengaja menempah susah menyertai ko-k seni lakon. Aku sendiri pun tak faham. Bila di kelas tu, Aku boleh buat benda-benda yang Aku malu hendak buat. Aku pernah memegang watak orang tua yang kempunan hendak makan pizza...heheh...kelakar cerita tu...Hujung-hujung bila kena buat pementasan besar-besaran untuk tujuan pemarkahan, kadang-kadang segan juga sebab pukul 2-3 pagi baru balik. Tapi itu dululah. Nak kata sosial, tak juga...sebabnya walaupun Aku berlakon dan perlu bercampur-gaul dengan ramai orang , Aku masih juga tidak berkawan rapat dengan ahli-ahli kumpulan. Pelik tu. Entahlah, nak cakap pun susah. Bolehlah dikatakan aktiviti Aku semata-mata memenuhi minat sahaja dan habis kerja, Aku kembali dengan watak Aku yang ala-ala kera duku tu. :)

Jadi, apabila boss-boss sibuk hendak menilai kecemerlangan seseorang eksekutif melalui sejauh mana dia mampu menonjolkan diri itu...Aku gelak ajelah. Pasal masalahnya bukan sejauh mana hebat atau tidak seseorang itu berkata-kata atau mampu menjadikan bilik senyap sunyi dek terpesona dengan aura bual-bicaranya...hujung-hujung orang hendak tahu yang keluar itu intan atau kaca. Kalau cakap gedebuk-gedebak, tapi isinya hampeh...tak guna juga.

Oh ya, memang Aku diam. Aku jenis diam. Aku suka berdiam diri. Tapi kalau tiba-tiba Aku hendak bersuara, Aku akan buka mulut dan bercakap. Bila perlu sahaja. Memang betul, sebagaimana latarbelakang dulu ternyata Aku bukanlah penakut atau ada masalah 'stage fright' tapi entahlah, sekarang Aku lebih selesa begini. Duduk diam-diam...heheh...

Nilaikan Aku dengan cara Aku berkerja. Siap atau tidak kerja Aku pada masa yang ditetapkan. Jangan nilai mulut Aku.

Tuesday, December 15, 2009

Bila Bahasa Jadi Halangan

Adakalanya bukan orang hendak dengar sangat fakta-fakta atau menghakimi dalamnya pengetahuan kita akan satu-satu perkara tetapi orang hendak tengok macamana kita menyampaikan mesej dengan berkesan. Cara kita bercakap, lenggok bahasa yang kita gunakan...yang penting selepas habis kita bercakap tu, masuk ke kepala tak apa yang kita cuba jelaskan? Orang semakin faham atau lebih bercelaru?

Begitulah, kita mungkin tidak menyangka sesuatu yang mudah pada kita tiba-tiba menjadi sesuatu yang menjerat.

Aku dapat bayangkan betapa hebatnya pakar-pakar itu bercakap dan berdebat sekiranya bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Aku dapat rasakan betapa mereka bergelut mencari-cari perkataan yang sesuai untuk mengabungkan makna demi makna bagi mengulas topik yang diperbahaskan. Kekalutan itu jelas terlihat. Rasa cemas berbicara dalam bahasa ibunda sedangkan lidah sudah lazim dan pemikiran sudah seiring selesa bertingkah dalam bahasa Inggeris. Kesian pun ada juga. Sudahnya kehangatan perbincangan itu tidak dapat dirasai. Dari satu ayat ke satu ayat dan dari satu patah perkataan ke satu patah perkataan, banyak sangat 'space filler'nya.

Jadi, selepas menontonnya...Aku tidak pelik merasakan tiada apa-apa yang baru disitu. Tiada apa-apa yang boleh berbekas di kepala penonton. Kalau yang kurang faham dan banyak salah tanggap tu...nasiblah, silap hari bulan lagi kuat mereka hendak 'menerkam'. Almaklumlah, banyak persoalan yang bukan sahaja terbiar tidak berjawab...dan kalau dijawab pun tidak benar-benar menyakinkan.

Itulah...jangan ingat kalau dok selalu makan budu, makan cencalok tu ....ingat Melayu...rupa-rupanya berterabur juga.

Friday, December 11, 2009

Hal-hal Yang Kecil Tapi...

Ada dua perangai yang Aku tak berkenan kebelakangan ini. Mungkin remeh bagi kebanyakan orang. Aku rasa perangai ini lahir dari sikap kurang prihatin kepada manusia lain dan kegagalan sifat bertimbang rasa berfungsi. Juga ada kaitan dengan krisis nilai hormat-menghormati. Pendekata, kalau nak ikut KRISTAL TM tu...boleh dijadikan contoh huraian yang panjang lebar layaknya.

Perangai pertama berlaku di lapangan terbang. Bukan sekali dua berlaku cuma kali ini melekat kuat dalam kepala Aku sampai Aku berjanji pada diri sendiri akan buat satu entri pasal hal ini. Bila dalam barisan menunggu untuk daftar masuk, masing-masing sibuk mengheret beg dan troli...biasalah kadang-kadang tu berlanggar. Bukan langgar kuat, tapi terkadang tu beg tergesel betis orang depan, atau hujung troli menyentuh buku lali orang depan...biasalah...Tapi kalau setiap kali bergerak, setiap kali langgar, apahal? Padahal sudah tahu orang kat depan tu bukan boleh bergerak bertapak-tapak pun...beransur sikit-sikit je...tak bolehkah hendak agak ruang? Tolonglah bertimbang rasa sikit. Sudahlah buat muka bodoh macam tak tahu dan tak kisah. Maaf jauh sekalilah. Sekali Aku lempang kang...

Perangai yang kedua pulak, tidak berlaku dalam barisan. Berlaku di tempat parkir. Kita cuma dapat rasa geram dekat kenderaan tu, nak geramkan pemandunya kita tak tahu siapa. Inilah...pasal cara meletak kenderaan. Aku tak faham betullah dengan pemandu yang suka meletak kereta macamlah kereta dia tu sampan. Kalau ye pun tak sayang kereta, fikir-fikirlah pemandu lain yang ruang letak keretanya bersebelahan kereta anda. Kalau dah parking senget sampai makan kotak parkir orang sebelah...orang sebelah bukan saja susah hendak meletak kenderaannya, silap hari bulan hendak keluar pun terpaksa buat kempis-kempis perut pasal pintu boleh buka sejengkal aje. Eeeeee...rasa hendak sepak kereta kat sebelah tuh! Yang lagi bodoh piang tu...kereta kita dah parking cantik, lurus, sesedap rasa dalam kotak...dia parking tak betul, bila dia hendak masuk atau keluar kereta dia (kita dah sampai dulu, dia datang kendian)...dia malas hendak senget-sengetkan badan dia...jalan mudah dia 'patahkan' side mirror kita....eeeeiiii...lagilah Aku geram! Atau punggung dia dengan selamba 'langgar' side mirror kita...pasal kepala hotak dia dah diprogramkan "pedulik hapa Aku...bukan kereta Aku!".

Sekecil-kecil gelagat langgar orang depan dengan troli itulah yang membawa kepada sebesar-besar perangai langgar belakang kereta orang...pasal kau selalu fikir, "alah tak apa, bukan ada apa-apa pun...". Macam enau dalam belukar , tahu hendak lepaskan pucuk sendiri sahaja.

Kalau itu dikatakan cerewet atau mengada-ngada...biarlah Aku cerewet sekali pun. Pasal jadi manusia ini bukan hanya kena fikir jaga perasaan dan hati sendiri...tapi kenalah juga fikir masalah orang lain sama. Kalau dok pentingkan diri sendiri dan tak hendak peduli hal orang, duduk dalam hutan sahajalah senang!

Kalau Sudah Rezeki

Keputusan sudah keluar
Alhamdulillah, sudah boleh senyum lebar
Sudah hilang segala debar
Sedar tidak sedar
Sudah layak merangkul gelar

Bukanlah pangkat yang dikejarkan
Cuma penat melalui ujian
Bila selesai segala dugaan
Tak payah fikir-fikirkan
Janji kerja jalan

Lega memang lega
Takut pun ada juga
Macam-macam rasa
Jauh dari selesa

Apapun hidup mesti terus
Harap jangan putus

Wednesday, December 09, 2009

Biarkan Gambar Bercerita

Kunjungan ke Melbourne baru-baru ini menambah lagi koleksi gambar-gambar kenangan. Betul seperti kata Rosebud, semenjak berleluasanya kamera digital, rakaman yang dibuat, paling baik pun simpan dalam folder komputer sahaja. Kalau hendak sangat cetak, hanya beberapa kerat sahaja. Almaklumlah, bila-bila pun kita tahu kita sentiasa boleh tengok semula dengan hanya beberapa kali 'klik'. Kalau dulu boleh tayang-tayang album gambar, sekarang kalau ada yang hendak tengok, kenalah buka laptop...heheh...sudahnya malas langsung hendak memenuhi permintaan sebegitu.

Berbeza dengan kunjungan ke Canberra dulu yang lebih banyak unsur-unsur alami, kali ini rakaman kenangan banyak berlegar sekitar binaan-binaan manusia. Interaksi dengan alam sangat terhad memandangkan kami cuma mampu berlegar di dalam kawasan pusat bandar Melbourne sahaja. Lagipun jangka masa yang singkat di samping banyaknya masa yang dihabiskan dengan menjengok-jengok ruang pameran kedai...ini sahajalah yang ada.

Gambar ini Aku ambil di siarkaki berhadapan State Library. Konon-konon macam 'terbit' dari bawah bumi atau dalam keadaan tertimbus.



Ini pula beberapa rakaman yang diambil semasa lawatan sekejap di Harbour Town, Docklands. Masa sampai tu, cuaca sangat mendung dan gelap.



Bandar ini masih belum siap sepenuhnya. Kerja-kerja pembinaan masih rancak dijalankan di sekitar kawasan itu secara berperingkat-peringkat. Ia dijangkakan siap sepenuhnya menjelang 2012. Di dermaga yang sunyi sepi, ada beberapa buah kapal berlabuh.



Aku dan Rosebud menghabiskan beberapa minit di sini membiarkan angin sejuk dari muara sungai Yarra mengigit kulit. Sejukkkkk!



Terdapat juga paparan mural yang diperbuat daripada cantuman mozek berwarna yang memaparkan wajah-wajah insan seni ternama berasal dari negara ini.



Dari Harbour Town, kami singgah bergambar di kawasan taman sekitar bangunan pentadbiran dan parlimen Victoria.



Bangunan Parlimen, Victoria.



Rosebud singgah di tandas awam bawah tanah. Semasa naik ke permukaan, rasanya macam keluar dari penjara pula...heheh...



Ini pula patung siapa ntah tak belek pun...saja je...



Kami juga tidak melepaskan peluang melawat Jalan Flinders yang sibuk itu.



Pergerakan ke mana-mana mudah dengan ketahanan berjalan kaki serta tram City Circle yang walaupun berbunyi dan bergegar bagai nak rak, tapi sungguh efisien sekali.



Alangkah baiknya kalau pengangkutan awam di Malaysia dirancang sebegini. Tak perlu canggih manggih...yang penting praktikal dan boleh diharapkan.



Selain City Circle yang percuma itu, banyak lagi terdapat tram-tram yang bergerak masuk dan keluar CBD Melbourne dengan kekerapan yang tinggi. City Circle ini sangat membantu pergerakan para pelancong dan juga warga kota yang ingin ke hentian-hentian tertentu sebelum bertukar menaiki tram, bas atau keretapi bawah tanah yang lain.

Jalinan wayar yang menyalurkan elektrik bagi menggerakkan tram boleh dilihat di laluan-laluan pengangkutan tersebut.



Kami kagum dan seriau dalam masa yang sama melihat bagaimana pemandu-pemandu di Melbourne ini menggunakan jalan raya mereka. Sungguh berdisiplin. "Turn right from left only" menyebabkan mereka terkedek-kedek menunggu hampir dengan lampu isyarat dan perlahan-lahan membelok, mahu makan masa menunggu giliran. Kalau kat Malaysia...mahu ada yang berlanggar...hehehe..

Terletak tidak jauh dari Flinders Station ialah Federation Square. Memang ramai manusia dekat sini. Tempat mereka duduk melepak-lepak dan berjemur. Tak buat apa-apa pun, duduk bersembang, baca buku, dengar lagu dan macam-macam peel lah...yang bercinta pun ramai juga.



Kami tak lama dekat sini, saja je nak tahu apa ada dan pastikan sudah sampai ke mari.



Hari pun sudah semakin petang.



Puas sudah berjalan, kaki pun penat. Perut pun sudah berdendang riang. Rosebud ajak singgah Es Teller...ke Aku yang ajak dia singgah Es Teller lagi? Hahaha...tak kisahlah, pendekata malam itu kami makan di sana lagi. Sepinggan kueyteow goreng menjadi pilihan Aku sementara Rosebud memilih bakso super. Tak ada gambar sebab dah lupa pun hendak ambil fotonya dulu. Hemmm...nyummy!

Tuesday, December 08, 2009

Sambil-sambil Menyelam...di Melbourne

Aku sebenarnya tidak menyangka dapat datang lagi ke sini untuk kali kedua. Apatah lagi kedatangan ke sini kerana mewakili syarikat. Lainlah kalau pergi melancong. Masa boss buat nomination dan suruh sediakan kertas kerja, Aku memang main ikut aje. Oleh sebab acuh tak acuh, maka, kelam-kabut sikitlah persiapan ke mari. Sudahlah kereta baru je kena langgar, ayah pun kemalangan, jadi memang serabut kepala rasa hendak meninggalkan tanahair.

Agaknya sudah memang rezeki hendak sampai lagi. Yang berbezanya kali ini dapat pergi saing dengan kawan sepejabat, Rosebud. Jadi, tanpa banyak fikir, kami terus sepakat berkongsi bilik. Senang sikit hendak merancang pergerakan. Tak adalah kejap-kejap hendak buat room call. Lagipun program ni ditaja sepenuhnya oleh konsultan kami. Dan kami telah terlebih anggar harga tiket, kos sudah meningkat. Berkongsi bilik ini dapatlah mengurangkan sikit kos. Lagipun, sekadar hendak masuk tidur dan berehat sekejap cuma...tak kisahlah.Kalau dulu Aku menginap di Saville on Russell, kali ini kami menginap di Grand Chancellor yang terletak di Lonsdale Street.



Ini gambar depan hotel tu.

Oh ya, program yang kami hadiri ini berupa training yang disediakan oleh pihak kawalselia industri telekomunikasi dan penyiaran Australia dengan kerjasama International Telecommunications Union. Ia melibatkan penyertaan daripada negara-negara rantau Asia Tenggara dan Pasifik. Setiap hari kelas bermula jam 9.15 pagi sampailah jam 5.30 petang.

Delegasi dari Malaysia ada 4 orang. Aku dan Rose beserta dua orang lagi dari pihak SKMM. Hari pertama sampai, kami tiba di hotel sekitar jam 10.30 mlm. Memang sudah letih giler. Nak cari makan pun banyak kedai dah tutup. Lapar punya pasal kami pergi 7-11 cari makanan. Aku beli susu dan kekacang aje. Rose makan mee kering yang dibawa dari KL.



Ini gambar aktiviti interaksi sesama peserta yang berlangsung pada sebelah petang hari pertama. Pada mulanya kami malas hendak join sama...heheh...tapi fikir punya fikir, ala...join ajelah. Itupun selepas kami sempat keluar cuci-cuci mata dekat Target.

Kedai-kedai di sini ditutup seawal jam 6 petang. Tetapi pasaraya dan pusat membeli-belah seperti Target, Big W dan Woolworth ditutup sekitar jam 9 ke 10 malam. Maka, sehari-hari bila bosan, ke situlah kami pergi sesudah kelas. Ada juga pergi Myer. Masa dekat Big W, Rosebud sudah nampak Corelle. Pagi petang siang malam itulah yang disebutnya...Corelle...Corelle...Corelle. Nasib baik lah tak tahu dekat mana kedai yang jual set 20 pieces Noritake pada harga AUD99 tuh...hahaha...Corelle yang Rosebud dok terigau-igau tu dijual pada harga AUD42 untuk set 16 pieces. Loose pieces dijual kurang AUD1 setiap satu. Kalau harga AUD5...boleh dapat AUD4 lah.

Dua hari jugaklah Rosebud berfikir hendak beli atau tidak. Bukan soal ada duit ke tak...soalnya, kami ini tak dapat direct flight balik ke Malaysia. Masa balik terpaksa singgah di Singapura sebelum dapat balik keesokan harinya. Jadi, memanglah agak sukar kalau hendak bawa banyak barang dan satu hal pula kalau terlebih muatan. Aku dah sah-sah tak hendak tambah beg, biasalah, Aku Cuma bawa beg kecil Aku itu dan beg laptop.

Fikir punya fikir punya fikir, Rosebud beli juga akhirnya hahaha. Itupun setelah hampir pengsan bila mendapati harga telah naik.



Nasib baik bila tanya dekat sales person kat situ, harga AUD42 tu masih terpakai hari kami pergi tu (2 Dis). Selamattt! Harga baru tu bermula 3 Dis. Teruslah Rosebud membeli. Barulah dia dapat tidur lena. Kalau tidak...asyik rasa hendak pengsan sahaja tiap kali menatap iklan-iklan promosi jualan di sana sini...sekarang dekat Krismas, banyaklah jualannya.



Design pilihan Rosebud. Rasanya, bermula hari itu...setiap kali ingat Corelle, setiap kali akan ingat kat Rosebud...hahaha.

Aku beli juga, tapi barang masuk kontena Ram hahaha...masa kat Target tu, Aku berkenan dengan set 3 biji periuk stainless steel yang tebal...harganya AUD50. Nak bawa balik tak nak. Jadi hantar mesej kat Ram, suruh dia cari kat tempat dia dan bawa balik nanti...hehehe...bijak tak? Bijak! Bijak! Rosebud pun apa lagi siap menghasut tahap gaban....hahaha...nasib baiklah Aku ni taklah kronik sangat bab-bab perkakasan dapur ini. Janji ada sahaja.

Sanggup kitaorang ronda rak demi rak tengok promosi periuk kat Target tu...crazy!!!



Yang ni, yang harga $130 punya pulak.



Ada lagi...



Bab makan di Melbourne ini, tak ada masalah sebab ada banyak kedai menjual makanan halal. Aku sempat bawa Rosebud ke kedai kebab yang Aku biasa makan masa kunjungan pertama dulu. Tak banyak yang berubah rupanya. Hehehe.



King's Kebab.



Kebab ini harganya AUD8. Makan separuh dah kenyang gilos.



Ada sekali tu, lunch yang disediakan kurang menarik selera. Tengahari buta nak makan sandwich...hish! Kami diajak oleh geng SKMM untuk pergi makan dekat kedai makan Indonesia di Swanston Street, Es Teller namanya.



Dari kiri, Rosebud, Razali, Dato' Shahril dan tuan punya blog. Tersengih kekenyangan. Nampak tak perkataan Es Teller yang kaler oren kat belakang tu?

Bila dah tahu, kami datang sendiri lagi sekali. Hidangan nasi ayam goreng belado ini harganya AUD10...jangan convert harganya ke RM…makan sahajalah!





Inilah dia Es Teller nye...macam ais batu campur lebih kurang. Kat dalam tu ada susu, nangka, kelapa muda...erks...sangat berlemak dan manis rasanya. Tak disyorkan untuk penghidap diabetes.



Bersebelahan hotel kami juga ada kedai makan Bangladesh yang pemiliknya adalah Islam dan 100% halal.



Mula-mula kami tapau aje, time lunch masa tu...sedap! Hari hendak balik tu, kami singgah makan di situ. Minta chicken beriyani. Rasanya...perghhh! hancur gue punya diet!



Oh ya, seperti biasa antara tempat wajib pergi adalah Victoria Market. Pasar pagi ini dibuka seawal jam 6 pagi. Ditutup pada Isnin dan Rabu. Hari Khamis pukul 2 petang dah tutup. Hari-hari selainnya tutup pukul 6. Kami ke sana untuk beli souvenir. Gerai ni memang Aku dah pernah kunjungi dulu. Owner dia berbangsa Cina dan pandai cakap Melayu..."Murah! Murah!" katanya.



Kami juga tidak melepaskan peluang membuli apek ini...suruh dia tangkap gambor kami pula hahaha...



Kunjungan tidak lengkap kalau tidak ke kedai buku.



Oh! Agak murah dan bervariasi buku-buku yang dijual di kedai buku Dirt Cheap ini.



Sempat juga beli dua buah buku. Masing-masing berharga $4.99.



Kami juga pergi berjalan-jalan sekitar CBD. Pergerakan mudah dengan adanya tram City Circle yang percuma itu.



Paling jauh, kami ke Harbour Town di Dockland. Sempatlah merayau sekejap tengok shoe factory outlet dan bergambar ala-ala perasan gituuu!



Ada juga sudut yang menempatkan pengiktirafan untuk anak seni yang mengharumkan negara ini.



Mel Gibson nyer star.



Hari terakhir kelas, kami makan semeja dengan reporter kepoh. Rosebud rajin melayan. Selamat aku...:)



Ini pula saat-saat kena rakam dengan paparazzi...keh...keh...keh...



Jom beri kerjasama kat paparazzi tuh!



Dari kiri, Malika, tuan punya blog, Rosebud & Oguz.

Hari Sabtu 4 hb Dis, kami sempat merayau sekali lagi dekat Victoria Market. Lepas tu balik untuk check out pukul 11 pagi sebelum menghabiskan masa membeli coklat di Big W dan Target. Jam 2.30 petang, pemandu yang disediakan oleh konsultan kami pun sampai untuk menghantar kami ke airport.

Lawak juga mengenangkan yang akhirnya dapat tahu beg kami tak keluar kat Changi. Jumpa kat KLIA sahaja. Bayangkan sehelai sepinggang masa tu...Nasib baiklah sampai Singapore hanya untuk tidur sahaja. Kami ingatkan hendak tidur di Ambassador Hotel kat dalam Changi Airport saja, tetapi penuhnya. Terpaksalah ke Changi Village Hotel yang jauhnya 10 minit perjalanan dari airport. Bolehlah....tak sempat tengok keliling pun. Sedar-sedar dah jam 5.15 pagi. Terus bersiap untuk keluar sebab penerbangan awal pagi.

Breakfast makan nasi lemak dekat Killiney. Owh! Sedap tau...daun pisang tu lebar dan segar...harum je baunya. Murah pulak tu. Dua orang makan dengan minum sekali, baru 6 dolar singopore...hish! kalau kat KLIA, paling murah pun nasi lemak KFC yang harga dia $8.50 tu ler.



Hujan emas di negeri orang...lebih baik hujan batu di negeri sendiri juga nampaknya...

(Perkara pertama yang Aku lakukan bila balik ini adalah...makan laksa!)

0 komentar:

Template by : kendhin x-template.blogspot.com